
Laporan/foto: Mohamad Subuh Jamali/Mohd Azizi Zamri (Sarawak)
GEDONG, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Hari pertama Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan yang berlangsung di Gedong mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada masyarakat setempat.

Orang ramai hadir bagi menyaksikan Pertandingan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan.
Seramai 10 peserta telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran pada malam pertama bagi mewakili daerah masing-masing di dalam Bahagian Samarahan. Mereka bersaing bagi merebut peluang untuk mewakili bahagian ini ke peringkat negeri Sarawak, semalam.
Majlis Tilawah tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 12 peserta dari daerah-daerah sekitar Bahagian Samarahan.
Penganjuran yang berlangsung selama dua hari, bermula 15 hingga 16 Mei, bukan sahaja bertujuan memilih wakil ke peringkat negeri, malah menjadi platform untuk memperkukuh ukhwah, memartabatkan seni bacaan Al-Quran yang bertajwid dan bertarannum serta menyemai rasa cinta terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam setempat.

Aliff menyantuni pengunjung di reruai pameran sempena Majlis Tilawah Al-Quran di Gedong semalam.
Selain pertandingan tilawah, turut diadakan pameran melibatkan enam agensi yang mengambil peluang untuk memberi penerangan mengenai fungsi dan perkhidmatan masing-masing kepada para pengunjung.
“Kami berbesar hati kerana dijemput untuk mengadakan pameran bersama, khususnya bagi menerangkan kepada orang ramai mengenai hibah dan faraid semasa majlis ini berlangsung,” ujar Aliff Hamzh Johan, 37, Pegawai dari Zurich Takaful.
-RJ-