
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Hasnida Saarani (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 31 Mei (MalaysiaAktif) – Norsiah Hamzah dan Zaharah Jamaluddin telah diangkat sebagai Penerima Anugerah Inspirasi Ibu sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di Dewan Dato Bahaman, di sini pagi tadi.

Forum ‘Harapan dan Cabaran Wanita Masa Kini’.
Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan penglibatan aktif penerima di dalam pelbagai program komuniti, kejayaan di peringkat antarabangsa dan ketabahan membesarkan anak tanpa suami dalam ketidakupayaan fizikal yang dialami.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.
Dalam ucapannya, Datuk Noorzunita turut memetik Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), mendapati 6.9 peratus wanita yang berkahwin terpaksa berjauhan dengan suami atas faktor pekerjaan.
“Situasi ini sudah tentu memberi kesan kepada dinamik keluarga dan menambah beban serta tanggungjawab seorang ibu, yang mana mereka bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, pengasuh anak-anak, malah turut aktif di dalam kepimpinan masyarakat.
“Dalam pada masa yang sama juga, program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) telah diperkenalkan oleh LPPKN dengan menyasarkan 30,000 pasangan suami isteri yang belum pernah menerima rawatan kesuburan permanian beradas (IUI) dan berpendapatan isi rumah kurang RM10,000 untuk menjalani rawatan kesuburan melalui kaedah IUI,” katanya.

Sesi bergambar bersama peserta-peserta program.
Norsiah Hamzah, 67, bersyukur dan terharu atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya.
“Terima kasih yang tidak terhingga ibu ucapkan kepada YB Datuk Noorzunita atas penghargaan ini,” katanya.
Program ini berlangsung dengan pelbagai pameran termasuk pengisian forum Kesuburan Wanita yang mana panel-panelnya ialah Penolong Perunding Profesor OBGYN Universiti UCSI Kampus Springhill Dr. Jamali Wagiman dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Yuhaniz Yusof.
Majlis turut disertai oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Juwairiya Zulkifli dan Pengarah LPPKN Negeri Sembilan Azlan Shah Nazrudin.
-ZS-