
Laporan/Foto : Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Program ‘One Stop Closer: Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Sarawak’ anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berlangsung semalam di Auditorium FINAS Cawangan Sarawak.

Hans Isaac bergambar bersama peserta program ‘One Step Closer’ di FINAS Sarawak, semalam.
Program tersebut disertai kira-kira 50 orang terdiri daripada agensi kerajaan, persatuan dan pengiat industri di Sarawak menyediakan platform untuk dialog dua hala antara FINAS dan penggiat seni Sarawak khususnya.
“Program ini bertujuan memberi penerangan serta mendapatkan maklumbalas dan cadangan daripada pengiat industri berkaitan pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244) yang merupakan langkah dalam memperkasakan FINAS dalam aspek tadbir urus industri kreatif tanah air,” kata Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac.
Sementara itu, ahli Perbadanan FINAS, Gregory Wee Lik Hoo, memaklumkan di Sarawak mempunyai perancangan terutamanya fokus kepada industri kreatif bukan sahaja filem tetapi juga animasi, dan dokumentari yang berunsurkan seni dan budaya tempatan.

Sesi soal jawab memberi ruang kepada pemain industri kreatif Sarawak menyuarakan isu, cadangan dan aspirasi mereka kepada pihak FINAS.
Oleh itu, kerjasama FINAS dan kerajaan Sarawak ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperluas pasaran kandungan kreatif Sarawak ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Rozaidi Abdil Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, menegaskan bahawa kebajikan penggiat industri kreatif akan terus menjadi keutamaan FINAS.
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk membuka peluang kepada penggiat seni untuk mendaftar akaun KWSP serta menyediakan perlindungan sosial melalui PERKESO, khususnya bagi penggiat seni veteran.
-RJ-