Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor Bendung Pencemaran Udara

By 15 Mei 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)

KEMAMAN, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan satu Operasi Gerak Kenderaan Bermotor bagi membendung pencemaran udara akibat pelepasan kenderaan di sekitar Kemaman, kelmarin.

Nik Nazmi memerhatikan pemeriksaan dilakukan ke atas motosikal.

Operasi yang turut disertai oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad itu memberi tumpuan kepada pemeriksaan pelepasan asap kenderaan berjeniskan diesel dan petrol serta memastikan pematuhan terhadap standard pelepasan asap hitam, gas dan bunyi bising yang ditetapkan.

“Fokus utama operasi adalah membendung pencemaran udara akibat pelepasan kenderaan, terutamanya di kawasan bandar.

“Sehingga Mac 2025, menerusi pelaksanaan Ops Gerak di seluruh negara, sebanyak 90,024 buah kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah ini, sebanyak 248 tawaran kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Pensampelan kawalan kualiti bahan api turut dilaksanakan semasa operasi tersebut di sebuah stesen minyak berdekatan.

Pada masa yang sama, pihak Jabatan Alam Sekitar juga turut meninjau pelaksanaan pemantauan dan persampelan kawalan kualiti bahan api khususnya diesel Euro 5, di sebuah stesen minyak berhampiran lokasi operasi tersebut.

Dalam operasi itu sebanyak 21 buah kenderaan telah diperiksa dan satu notis arahan kompaun telah dikeluarkan di bawah 48A1 dan 48A Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.

Operasi seumpama ini akan diteruskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam secara berkala di lokasi-lokasi tumpuan di seluruh negara bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi terhadap piawaian alam sekitar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda