
Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 30 Mei (MalaysiaAktif) – Padang Stadium Darul Makmur telah diiktiraf sebagai padang rumput asli (natural grass) pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melalui Program Kualiti FIFA Permukaan Padang Semula Jadi.

Padang yang memenuhi piawaian antarabangsa ini mampu membantu mengurangkan risiko kecederaan dan memberi ruang peningkatan prestasi pemain menerusi pendekatan sains sukan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal, pensijilan ini diperolehi setelah pihak konsultan yang dilantik oleh FIFA iaitu Acousto-Scan Pty Ltd. berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Darul Makmur melalui penilaian penuh yang dijalankan pada 23 dan 24 April lalu.
βMelalui penilaian tersebut, padang Stadium Darul Makmur telah berjaya mendapat penarafan ‘Excellent’ iaitu dengan markah sebanyak 93 peratus,β ujarnya di sidang media, di sini hari ini.

Ada tiga komponen utama penilaian penuh terhadap padang ini iaitu ujian iklim, ujian prestasi sukan dan ujian agronomik.
Ujar Fadzli lagi, dengan adanya padang yang diiktiraf oleh FIFA ini diharap dapat menarik lebih banyak acara sukan antarabangsa ke negeri Pahang, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan sukan.
βPensijilan FIFA yang diperoleh hari ini bukan sahaja merupakan pencapaian yang bersejarah, sebaliknya memberi keyakinan bahawa dengan perancangan yang rapi, pelaksanaan yang berkesan dan komitmen yang berterusan, kita mampu menzahirkan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa di bumi Pahang,β katanya.
-ZS-