
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Debaran kian terasa menjelang Pertandingan Perahu Naga Pendang Kali Kedua atau 2nd Pendang Dragon Boat Regatta (PDBR) 2025 yang akan berlangsung pada 17 hingga 18 Mei ini di Pendang Lake Resort.

Bot yang akan digunakan untuk PDBR sudah tiba di lokasi perlawananan.
Menurut Setiausaha Kerja PDBR 2025 Muhamad Nasir Ismail, pertandingan perahu naga terbesar ini pertama kali diadakan pada tahun 2023 dan mendapat penyertaan yang amat menggalakkan bukan sahaja dari seluruh Malaysia malahan dari luar negara termasuklah Filipina dan Australia.
“Berikutan sambutan hebat tersebut, pada tahun ini pertandingan yang sama dianjurkan buat kali kedua bersempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025.
“Saya amat berharap agar orang ramai terutama penduduk tempatan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan secara percuma naga-naga air ini berjuang dan berentap bagi merebut kejuaraan dalam pertandingan berprestij tersebut,” ujarnya, di sini semalam.
Pertandingan yang bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta di daerah Pendang antaranya Pendang Lake Resort, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pendang, Pejabat Penerangan Daerah Pendang, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Daerah Pendang dan beberapa lagi agensi lain yang menyumbang tenaga bagi menjayakan program berkenaan.

Sesi lawatan tapak yang diadakan semalam dalam persiapan akhir menjelang perlawanan PDBR 2025.
“25 pasukan akan bersaing dalam 50 perlawanan yang melibatkan lima kategori termasuk Premier Open, Premier Mixed, Premier Masters, Closed Kedah Agency dan Dragon Boat Tug of War.
“Pada hari itu juga, sepanjang pertandingan berlangsung orang ramai dapat berkunjung ke gerai-gerai jualan makanan, gerai kraf tangan dan cenderamata, khidmat urutan fisioterapi serta pameran oleh agensi kerajaan dan swasta,” ujarnya.
-ZS-