
Laporan/Foto: Roslan Rungan & Prisscilla Chong (Sabah)
KUNAK, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Daerah Kunak terus komited dalam menjayakan agenda pembangunan negeri melalui pelantikan 18 Ahli Majlis Daerah baharu bagi penggal 2025 hingga 2027 di Dewan Arena Belia dan Sukan, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak Datuk Norazlinah Arif, berkata pelantikan ini mampu memperkukuh struktur pentadbiran di peringkat tempatan selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya.

Norazlinah menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Pelantikan Ahli Majlis Daerah Kunak.
Mewakili Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih, Norazlinah yakin pelantikan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam pembangunan daerah.
“Pelantikan ini mencipta lembaran baharu bagi daerah Kunak, dengan gabungan pelbagai kaum, jantina dan latar belakang.
“Empat wanita dan empat wakil kaum Cina dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah, menunjukkan keterangkuman dalam pentadbiran tempatan,” katanya semasa menyempurnakan majlis pelantikan di Dewan Arena Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah, pada Isnin.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Daerah Kunak Majaran Osman, menjelaskan pihaknya merupakan tunjang kepada kesejahteraan sosioekonomi rakyat di bawah pentadbirannya.
“Majlis Daerah Kunak ditubuhkan pada 1 Jun 1994 mengikut Seksyen 3, Ordinan Kerajaan Tempatan Sabah 1961 melalui Warta Kerajaan No. S.5/1994. Sebelum itu, ia merupakan Sub-Bahagian Majlis Daerah Lahad Datu sejak tahun 1961.

Norazlinah Arif menyaksikan penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pong Kin Wai, salah seorang Ahli Majlis Daerah Kunak bagi penggal 2025–2027.
“Majlis Daerah Kunak ialah organisasi berautonomi kewangan yang berperanan menyediakan dana pembangunan bagi aspek ekonomi dan sosial di peringkat tempatan,” ujarnya.
Salah seorang ahli majlis, Pong Kin Wai, 63, yang dilantik untuk kali keenam, menyuarakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan.
“Saya berbesar hati dilantik semula dan akan terus menyumbang dalam membangunkan daerah Kunak melalui pelbagai jawatankuasa yang akan dibentuk nanti,” katanya.
-RJ-