
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Pelbagai inisiatif dilaksanakan pihak kerajaan bagi membantu memperkasa peranan seorang wanita yang bernama ibu di negara ini.

Acara memotong kek menyerikan Sambutan Hari Ibu MADANI 2025
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dalam tempoh 2021 hingga 2025 pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk memperkasakan ibu-ibu dari segi ekonomi, sosial dan kemahiran hidup.
“Antaranya adalah program keusahawanan masakan, kraf tangan, kursus kewangan keluarga serta peluang mendapatkan pembiayaan DanaNITA daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).
“Ramai ibu di Labuan termasuk ibu tunggal kini aktif menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan seperti katering, menjahit dan jualan dalam talian malah ada yang menjadi tulang belakang kepada NGO tempatan yang terlibat dalam program kebajikan masyarakat serta pendidikan anak-anak,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Ibu MADANI 2025 di sini semalam.

Simsudin (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang
Beliau yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa turut menyanjung tinggi peranan yang dimainkan golongan ibu dalam pembangunan negara.
“Selain berperanan sebagai suri rumah dan ibu, wanita hari ini memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Mereka aktif dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan juga kepimpinan, justeru pengiktirafan terhadap peranan wanita dan ibu wajar diberikan secara berterusan agar mereka terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang kepada seorang ibu tunggal Fatimah Fadil, 54, yang berjaya dalam dalam pelbagai bidang serta mendidik tiga orang anaknya menjadi anak-anak yang berjaya dalam kehidupan.
-AA-