
Laporan/foto: Malina Jamarin / Dg Yusridah Asrin (Tuaran)
Tuaran, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Pengiktirafan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) sebagai salah satu tapak warisan dunia membawa bersama tanggungjawab besar untuk memastikan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelaksanaan sesi konsultasi bersama pihak berkepentingan, komuniti tempatan serta Ekspedisi Saintifik Perluasan Kawasan KUGGP dan Crocker Range Biosphere Reserve merupakan langkah tepat yang selari dengan aspirasi pembangunan lestari negeri Sabah.

Hajiji Haji Noor ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis pelancaran di sini kelmarin.
“Pengiktirafan ini adalah satu amanah yang perlu dipikul bersama untuk terus memperkukuh asas saintifik, meningkatkan pemantauan sumber asli serta memperluas jaringan pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada seluruh rakyat Sabah.
“Ia juga merupakan satu penghormatan kepada kekayaan biologi dan budaya unik di tiga daerah utama iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Proses Konsultasi bersama Pihak Berkepentingan dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik Perluasan Kawasan KUGGP dan Crocker Range Biosphere Reserve di Tuaran, pada Sabtu.
Tambah beliau, sebuah pusat kesedaran awam akan diwujudkan di daerah Tuaran sebagai salah satu syarat penting dalam proses peluasan kawasan geopark dan permohonan pengiktirafan UNESCO.

Antara suasana dan pameran yang diadakan sempena majlis pelancaran Ekspedisi Saintifik dan Sesi Konsultasi di Tuaran.
“Pusat ini akan berperanan sebagai platform penyebaran maklumat serta meningkatkan kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Amanah Taman-Taman Sabah, Peter Lintar berkata, komitmen para penyelidik dalam menjalankan kajian termasuk di kawasan Tuaran menjadi antara pemangkin utama usaha peluasan kawasan geopark ini.
“Saya berharap peluasan kawasan KUGGP ini akan memberi manfaat kepada semua pihak dan seterusnya meraih pengiktirafan lebih tinggi daripada UNESCO,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew serta Pembantu Menterinya, Datuk Joniston Bangkuai.
-RJ-