
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 27 Mei (MalaysiaAktif) β Dalam suasana malam yang berlatarkan keindahan semula jadi di Kampung Budaya Sarawak (SCV) pada malam Ahad lepas, pementasan epik Rentap – The Battle of Bukit Sadok bukan sahaja mengangkat kembali kisah keberanian seorang pahlawan Iban, malah meniupkan semula bara semangat perpaduan yang menjadi nadi kekuatan negeri Sarawak.

Antara pengunjung yang hadir.
Lebih 2,000 penonton memenuhi ruang teater terbuka yang terletak di tepi tasik nan damai, namun yang paling menyentuh sanubari bukan sekadar visual dramatik atau alunan muzik yang memukau, tetapi suasana harmoni apabila penonton berbilang kaum seperti Melayu, Iban, Bidayuh, Cina, Orang Ulu dan lain-lain duduk sebaris, bersorak, bertepuk tangan dan berkongsi rasa bangga terhadap warisan tanah air bersama.
βSaya melihat sendiri bagaimana kanak-kanak Cina dan Iban duduk bersama, bertanya tentang watak-watak dalam pementasan ini manakala orang tua Melayu di sebelah saya pula menitiskan air mata.
βInilah Sarawak yang sebenar, kaya dengan kasih sayang antara kaum,β ujar Iswandi, 49, yang juga penulis dan salah seorang pengunjung yang sanggup datang dari Bandar Simanggang semata-mata untuk menyaksikan teater muzikal ini.

Antara pengunjung yang hadir.
Pementasan muzikal dua malam itu diadakan sempena Festival Sarawak Harvest and Folklore 2025, bertepatan dengan sambutan Gawai Dayak.
Kisah keberanian Rentap yang menentang penjajah Brooke di Bukit Sadok dihidupkan semula menerusi gabungan teater, muzik tradisional dan kesan khas yang mengasyikkan.
Barisan pelakon utama diterajui oleh Anding Indrawani sebagai Rentap, Melissa Francis sebagai Sawai, dibantu lebih 80 pelakon muda daripada pelbagai latar belakang etnik dan institusi, termasuk Sekolah Seni Malaysia Sarawak dan komuniti SCV sendiri.
Menariknya, skrip pementasan ini disampaikan dalam 60 peratus bahasa Iban, diiringi Bahasa Melayu dan Inggeris, menjadikan pengalaman menonton ini inklusif serta penuh simbolik.
-ZS-