
Laporan/foto: Moh. Haziman Abdul Rahman (Telupid)
TELUPID, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Persatuan Tagal Kampung Kopuron dan Kampung Bestaria disaran agar memanfaatkan peluang hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Jabatan Perikanan Sabah sebagai langkah memperkasa usaha pemuliharaan sungai dan pembangunan ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Datuk Jonnybone J Kurum berkata, kerjasama itu berpotensi besar membantu menaik taraf kemudahan dan infrastruktur di samping merangsang ekonomi penduduk melalui bimbingan agensi berkaitan.
“Saya amat menghargai perkembangan Persatuan Tagal di Daerah Telupid, khususnya pada hari ini. Tahniah kepada Persatuan Tagal Kampung Kopuron dan Kampung Bestaria atas pemeteraian MoU bersama Jabatan Perikanan Sabah. Dahulunya kamu beroperasi secara tradisi, tetapi kini kamu telah menjadi rakan strategik di bawah bimbingan pihak jabatan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis menandatangani MoU Tagal di Kampung Kopuron, di sini pada hari Khamis.

Jonnybone (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Persatuan Tagal Kampung Bestaria dan Jabatan Perikanan Sabah.
Tambah beliau, kerjasama yang terbentuk melalui MoU itu mampu membawa manfaat jangka panjang, terutamanya dari aspek ekonomi komuniti setempat menerusi pembangunan fasiliti dan jaringan perhubungan yang baik.
“Kawasan kampung ini telah menjadi laluan Pan Borneo dan penaiktarafan jalan Kampung Lumou ke Bestaria menjadi pemangkin untuk terus menerima kunjungan daripada masyarakat di luar daerah Telupid bahkan pelancong dari dalam dan luar negeri.
“Tagal berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan luar bandar yang bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, tetapi juga menyahut seruan kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di kawasan luar bandar.
“Sistem Tagal berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan luar bandar yang bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, malah menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar. Dalam masa yang sama, ia juga memastikan kelestarian alam sekitar melalui penjagaan sungai dan kawalan penangkapan ikan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Tagal Kampung Bestaria, Willben Pedtong, 38, menyifatkan MOU tersebut sebagai langkah penting dalam pengurusan sungai yang lebih kompeten dalam sebuah komuniti.
“Memorandum yang dimeterai hari ini bukan sekadar upacara simbolik, tetapi merupakan satu langkah besar dan berani ke arah pemulihan serta pengurusan sungai demi manfaat kedua-dua kampung.

Pelepasan 2,000 benih ikan Lampam Jawa di Sungai Kampung Kopuron sebagai usaha pemuliharaan sumber perikanan.
“Sungai yang mengalir antara Kampung Kopuron dan Kampung Bestaria ini telah lama menjadi nadi kehidupan penduduk, berfungsi sebagai sumber air, rezeki, riadah, dan kawasan pemuliharaan melalui sistem tagal. Melalui MOU ini, kami berharap Jabatan Perikanan dapat memberi bimbingan dan sokongan asas untuk pembangunan kawasan tagal.
“Kami juga berharap jawatankuasa tagal dapat memupuk tanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan keaslian sungai, sekali gus menjadikannya contoh kerjasama komuniti dalam pemuliharaan alam dan pembangunan ekonomi melalui eko pelancongan dan agro komuniti,” ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada program, sebanyak 4,000 benih ikan Lampam Jawa telah dilepaskan ke Sungai Kopuron dan Bestaria bagi meningkatkan populasi ikan dan memastikan kelestarian ekosistem sungai.
-RJ-