
Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi (Mersing)
MERSING, 30 Mei (MalaysiaAktif) – Penantian selama hampir 15 tahun bagi pembeli Projek Perumahan Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Koperasi Nelayan Mersing, kini dikenali sebagai Taman Bayu Impian, akhirnya berakhir selepas menerima penyerahan kunci rumah baharu mereka, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah projek-projek terbengkalai di Johor
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata projek perumahan yang telah diklasifikasikan sebagai “projek sakit” sejak tahun 2007 ini akhirnya berjaya disiapkan hasil usaha bersepadu melibatkan Kerajaan Negeri Johor, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), agensi-agensi teknikal serta pihak pemaju Ophir Height Sdn Bhd.

Mohd Jafni meninjau salah sebuah rumah yang telah berjaya disiapkan di Taman Bayu Impian, Endau Mersing
“Komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyelesaikan projek-projek terbengkalai seperti ini adalah bukti keprihatinan terhadap nasib rakyat, khususnya pembeli rumah yang sudah lama menanggung ketidakpastian.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan teknikal dalam menyelesaikan projek terbengkalai, malah menjadi simbol harapan dan kelegaan buat para pembeli yang sekian lama menunggu untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika merasmikan penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Bayu Impian, di sini semalam.
Jafni turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penyelesaian projek ini, terutamanya Menteri Besar Johor, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), serta agensi-agensi teknikal yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan projek ini dapat diteruskan dan disiapkan dengan jayanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah, Ketua Pegawai Operasi PKPJ Mohd Haniff Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing Mohd Norman Noh dan Pengarah Ophir Height Sdn Bhd Dr Chai Ah Ko.
-AA-