Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 25 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Perlis amat menyedari bahawa program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merupakan antara teras penting dalam pembangunan negeri dan sentiasa menyokong dan memperjuangkan agenda TVET sebagai satu laluan pendidikan yang setaraf, relevan dan berdaya saing.

Melawat reruai pameran di Sambutan Hari Kerjaya TVET Zon Utara
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail ketika berucap di Program Sambutan Hari Kerjaya TVET Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan Zon Utara berkata, buat masa sekarang TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi sudah menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui TVET, kita dapat melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, inovatif dan produktif, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Sebagai contoh, di negeri Perlis ini, projek seperti di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang kejuruteraan, automasi, logistik, dan teknologi boleh baharu seperti sistem panel solar, sistem kompos makanan dan lain-lain lagi,” katanya, semalam.
Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Utara yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis pada kali ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Institut Latihan Kemahiran Belia Negara dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Antara agensi kerajaan yang membuat pameran di Hari Kerjaya TVET Zon Utara di IKBN Kuala Perlis
Turut hadir, Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan, Puan Dalila Sharingat dan Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis, Puan Zaliha Abu Bakar.
Pelbagai aktiviti diadakan pada Hari Kerjaya TVET Zon Utara seperti pameran dari agensi kerajaan dan swasta, kaunter temuduga, pertandingan scaffolding, jualan rahmah dan jualan food truck.
Program ini bertujuan menyediakan platform kepada graduan dan mereka yang ingin mengembangkan kerjaya dalam bidang TVET.
Tambah Rahimi lagi, TVET juga merupakan ‘Game Changer’ dalam membentuk masa hadapan anak muda. Justeru, bidang ini wajar dijadikan keutamaan dalam membuat pilihan untuk melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan.
Beliau turut berharap institusi latihan seperti ILKBS akan terus menjadi antara peneraju utama dalam melahirkan belia Malaysia yang lebih kompeten, dinamik dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Modal Pembangunan Belia MADANI 2030.
-AA-