
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/KTM Berhad (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 10 Mei (MalaysiaAktif) — Perkhidmatan Kargo Pasir Gudang-Kempas Baru beroperasi semula bermula semalam selepas ditutup sementara bagi menaik taraf penggantian batu kelikir dan trek serta sistem isyarat keselamatan membabitkan kos sebanyak RM55 juta.

Majlis penyerahan landasan keretapi Pasir Gudang-Kempas Baru oleh pihak kontraktor kepada KTMB yang diwakili oleh Menteri Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata projek itu disiapkan lebih awal daripada jangkaan dalam tempoh enam bulan sahaja berbanding 24 bulan yang dijanjikan sebelum ini.
“Landasan perkhidmatan kargo sepanjang 40 kilometer yang menghubungkan tiga jajaran utama iaitu Kempas Baru, Seelong dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang mula beroperasi hari ini (Jumaat) selepas ditutup sementara sejak Oktober tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Semula Landasan Untuk Operasi Perkhidmatan Kargo Bagi Laluan Kempas Baru-Pasir Gudang, di sini semalam.
Sementara itu, Loke memaklumkan bahawa KTMB juga bakal memperkenalkan perkhidmatan koc penumpang baharu bagi laluan itu yang dijangka beroperasi hujung tahun ini.

Anthony Loke dan barisan tetamu kehormat memdengar taklimat ringkas berkenaan pengoperasian semula landasan keretapi Pasir Gudang-Kempas oleh pegawai KTMB.
“KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi akan menyediakan perkhidmatan koc penumpang dengan menggunakan koc KTMB sedia ada dan akan mempertimbang untuk membeli koc baharu pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengurus KTMB Wilayah Selatan Khairul Ridzwan Ani.
-ZS-