Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Persatuan Penduduk Taman Cempaka Sari Tubuh Pasukan COMBI

By 8 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

KLANG, 31 Mei (MalaysiaAktif) – Persatuan Penduduk Taman Cempaka Sari Fasa Tiga tubuh pasukan Perubahan Tingkah Laku (COMBI) bagi membenteras tempat berisiko wabak denggi di kawasan ini.

Nurhidayah Ariffuddin (tengah), Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, PKD Klang meletakkan racun jentik-jentik ke dalam botol ujikaji hasil pemeriksaan oleh sukarelawan COMBI di sekitar perumahan Persatuan Penduduk Taman Cempaka Sari Fasa 3

Pegawai Pendidikan Kesihatan, Habel Hisham, berkata COMBI diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2001 sebagai salah satu strategi untuk menangani masalah denggi di Malaysia.

“Tiga mesej utama yang penting di dalam COMBI adalah yang pertama periksa dan cari tempat pembiakan Aedes, yang kedua sekiranya demam pergi mendapatkan rawatan segera di klinik dan yang ketiga menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya ketika menyampaikan taklimat COMBI hari ini, di Balai Masyarakat Taman Cempaka Sari Fasa Tiga.

Sesi amali mencari tempat pembiakan Aedes oleh pasukan sukarelawan COMBI Taman Cempaka Sari Fasa 3 turut diberi penerangan oleh pegawai dari Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang

Sementara itu, Mohd Zaki Mohamad Yusof, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cempaka Sari Fasa Tiga, berkata beliau melahirkan rasa syukur dapat menubuhkan pasukan COMBI melibatkan komunitinya di sini yang turut disertai golongan muda.

“Penubuhan COMBI hari ini melibatkan 20 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Persatuan Penduduk Taman Cempaka Sari Fasa Tiga, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cempaka Sari Tiga serta komuniti Surau Al-Masyhur.

“Banyak ilmu yang kami dapat hari ini terutamanya mengenai peranan sukarelawan COMBI serta bagaimana untuk memeriksa, mencegah, mengawal dan membasmi penyakit-penyakit bawaan nyamuk melalui program amali hari ini,” katanya yang ditemui hari ini, dan turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi COMBI Taman Cempaka Sari Fasa Tiga.

Program hari ini turut disertai oleh Unit Promosi Kesihatan dan Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah Klang, yang turun padang memberi taklimat serta tunjuk ajar dalam sesi amali memeriksa dan menghapus tempat pembiakan nyamuk.

-AA-

Tinggalkan komen anda