Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Pertandingan Memancing Daerah Pitas 2025 Meriah, Tarik Penyertaan Luar Daerah

By 27 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Nurhamisa Rapi (Pitas)

PITAS, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Sempena Kaamatan dan Pesta Pitas 2025, tema ‘Kaamatan untuk Semua’ diserikan dengan Pertandingan Memancing yang mengeratkan masyarakat dan menghargai warisan laut.

Mewakili Pembantu Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri (Dr) Ruddy Awah, Pegawai Daerah Pitas Asdi @ Mohd Faizal Husin, berharap agar pertandingan ini dapat dijadikan acara tahunan sempena sambutan Pesta Pitas dan Pesta Kaamatan.

Asdi ketika menyampaikan ucapan perasmian.

“Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat, malah turut merapatkan hubungan antara komuniti pelbagai latar belakang.

“Perkara ini juga selari dengan semangat perpaduan yang dibawa oleh Pesta Kaamatan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dataran Pitas, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Pegawai Penguasa Ko-Nelayan Daerah Pitas Raflen Abd Hamid, berkata pertandingan tersebut kini memasuki tahun kedua penganjuran dengan penyertaan yang meningkat ketara, khususnya dari luar daerah.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diterima dan berharap agar tahun hadapan lebih ramai peserta dapat turut serta, bukan sahaja dari daerah Pitas, malah dari seluruh Sabah.

“Kami juga berharap peruntukan untuk acara ini dapat ditingkatkan demi memperkasakan nilai hadiah dan kelancaran penganjuran,” ujarnya.

Asdi bersama barisan ahli jawatankuasa dan peserta pertandingan.

Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kawasan serta pemimpin masyarakat setempat.

Bagi kategori utama, Caleb Lin, 35, dari Kampung Mempakad dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM400.

“Ini penyertaan pertama saya dalam pertandingan memancing sempena Kaamatan, dan saya sangat bersyukur serta tidak menyangka akan muncul sebagai juara,” kata Caleb yang jelas teruja.

Selain hadiah utama, penganjur turut menyampaikan hadiah khas kepada peserta dengan pancingan terpantas dan tangkapan ikan dengan berat terkumpul tertinggi.

Untuk makluman, pertandingan yang berlangsung di Dataran Pitas ini berjaya menarik lebih 100 penyertaan dalam kategori terbuka, termasuk dari luar daerah seperti Kota Belud, Kudat dan Kota Marudu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda