
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
PASIR MAS, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Dataran Bandar Baru Lubok Jong, di sini malam kelmarin berubah menjadi medan yang meriah dan penuh warna apabila langit dihiasi dengan wau bercahaya yang berlegar-legar di udara, memukau perhatian lebih 500 pengunjung yang hadir.
Kemeriahan suasana jelas terasa apabila pelbagai jenis wau yang dihiasi lampu LED berwarna-warni diterbangkan tinggi, mengubah malam biasa menjadi pertunjukan cahaya yang mempesonakan.

Nik Ariff bersama salah satu wau yang dipertandingkan.
Menurut Ramli Yunus, 50, pembuat wau dari Telipot, Kota Bharu, beliau bersama rakan membawa enam buah wau khas yang dihias indah dengan sistem lampu LED untuk menyertai Persembahan dan Pertandingan Wau Bercahaya anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan.
“Pelbagai jenis wau saya bawa, dihiasi dengan lampu berwarna-warni. Walaupun kosnya mencecah ribuan ringgit, saya tetap rasa puas dan seronok bila dapat melihat wau hasil tangan sendiri naik ke langit,” katanya.
Rakannya, Mohd Imran Mohd Nawi, 44, pula, berkata dia gembira dapat membantu Ramli dalam menaikkan wau tersebut.
“Rasa sangat seronok bila dapat pegang dan tarik tali wau yang bercahaya. Setiap kali wau naik, orang ramai bersorak dan bertepuk tangan. Ia satu pengalaman yang menggembirakan,” katanya.

Rosli Awang Ngah dan isteri Arifah Abd.Rahman bersama dua orang anak mereka bergambar dengan wau cahaya.
Ketua pengadil pertandingan, Nik Ariff Nik Hassan, 72, menjelaskan bahawa kriteria utama dalam menilai wau bercahaya termasuk tahap kecerahan dan kerlipan lampu semasa ia diterbangkan, selain reka bentuk wau yang unik serta hiasan yang menarik.
“Wau bercahaya ini ada keunikan tersendiri, bukan sekadar cantik dengan lampu pelbagai warna, tetapi juga mampu terbang dan berlegar-legar di udara, walaupun seketika,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Permainan Wau Tradisional Kelantan.
Pertunjukan ini bukan sahaja menonjolkan keindahan seni tradisional, malah menyatukan masyarakat pelbagai lapisan dalam suasana penuh ceria dan harmoni.
-ZS-