
Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)
Nabawan, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan menuai hasil tuaian, tetapi juga lambang perpaduan dan kesyukuran yang merapatkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin menegaskan bahawa keharmonian masyarakat majmuk Sabah perlu terus dipelihara demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negeri untuk generasi masa depan.

Ghani ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan.
“Saya menyeru seluruh rakyat, khususnya komuniti Kadazan, Dusun, Murut, Rungus (KDMR) dan suku-suku kaum lain di Sabah untuk menghayati nilai perpaduan dan hormat-menghormati seperti yang digariskan dalam tema Kaamatan 2025, Kaamatan Untuk Semua atau Kaamatan Katangan Kaawi dalam bahasa Murut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan yang diadakan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan, dihadiri lebih 1,300 orang di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, semangat kebersamaan dan sikap saling menghormati harus dijadikan contoh kepada generasi muda, meskipun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat.

Pemenang Unduk Ngadau Daerah Nabawan 2025, bergaya anggun dengan pakaian tradisional, melambangkan keindahan, kebijaksanaan dan warisan budaya masyarakat Sabah.
Dalam ucapannya, Datuk Abdul Ghani turut menyeru agar golongan kurang berkemampuan segera mendaftar dengan agensi yang disyorkan bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga melalui pelbagai bentuk bantuan, termasuk kepada golongan miskin, miskin tegar, usahawan kecil serta pelajar yang memerlukan,” tambahnya.
Acara kemuncak sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk simbolik menuai padi, persembahan tradisional, serta pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau yang mencerminkan keunikan warisan budaya masyarakat tempatan.
-RJ-