Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pesta Kaamatan Pacu Perpaduan, Budaya dan Ekonomi Sabah

By 3 hari yang lalu18 seconds yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Noorsiah Mahmud & Sunday Grace Justimus (Penampang)

PENAMPANG, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Berakar daripada tradisi dan semangat komuniti, Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi simbol perpaduan rakyat Sabah, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan budaya negeri ini.

Warisan tidak ternilai yang diraikan oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) ini mencerminkan kekayaan budaya yang wajar digarap sebagai sumber pembangunan mampan.

Pengerusi Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, Pesta Kaamatan menjadi wadah penting dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah, selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua”.

“Perayaan ini membuktikan bahawa masyarakat Sabah mampu hidup dalam harmoni meskipun berlatarbelakangkan etnik dan agama yang berbeza. Ini adalah kekuatan yang perlu terus kita pelihara, khususnya bagi generasi akan datang,” katanya.

Menurut beliau, program seperti Sugandoi dan Unduk Ngadau bukan sahaja memperkasa seni budaya, malah menjadi jambatan yang menghubungkan generasi muda dengan akar budaya mereka.

“Melalui acara-acara ini, kita bukan sekadar meraikan hasil tuaian, tetapi juga merayakan nilai perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di Sabah,” jelas beliau dalam program Influencer@JAPEN Sabah yang berlangsung di Dewan KDCA, Khamis lalu.

Joseph  berkongsi pandangan mengenai kepentingan Pesta Kaamatan sebagai simbol perpaduan dan warisan budaya masyarakat Sabah kelmarin.

Sebagai Huguan Siou (Pemimpin Agung) masyarakat Kadazandusun, Tan Sri Pairin turut menegaskan pentingnya pemeliharaan seni dan budaya tradisional sebagai khazanah warisan yang perlu diperturunkan kepada generasi akan datang.

“Aktiviti seperti pertandingan tarian tradisional, persembahan alat muzik etnik, serta pameran makanan warisan seperti lihing, linopot dan bambangan adalah antara cara mengekalkan pengetahuan turun-temurun.

“Kepintaran nenek moyang kita—daripada teknik membuat lihing hingga penyediaan bambangan—perlu dikekalkan. Ia bukan sekadar tentang rasa, tetapi tentang identiti dan kelangsungan budaya,” tambah beliau.

Beliau turut menekankan bahawa Pesta Kaamatan kini berperanan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar dan pengukuhan sektor pelancongan budaya Sabah.

“Melalui kegiatan seperti jualan produk tempatan, pameran kraftangan, dan lawatan ke destinasi seperti Koisaan Cultural Village (KCV), pelancong dapat menyaksikan sendiri keunikan budaya dan seni bina tradisional Sabah.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan budaya Sabah kepada dunia, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada masyarakat setempat,” jelas beliau.

Acara kemuncak Pesta Kaamatan dijadual berlangsung pada 30 dan 31 Mei 2025, dan dijangka menarik ribuan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan pertandingan Unduk Ngadau, Sugandoi, serta pelbagai acara kebudayaan lain.

-RJ-

Tinggalkan komen anda