Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Pesta Kaamatan Platform Perpaduan, Warisan Budaya dan Pemangkin Ekonomi Sabah

By 9 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Penampang)

PENAMPANG, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Maujud daripada tradisi dan semangat komuniti, Pesta Kaamatan bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah membuka ruang untuk Sabah terus menyerlah dalam landskap pelancongan budaya negara.

Warisan yang tidak ternilai bagi masyarakat Sabah atau lebih spesifik kepada kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus (KDMR) ini adalah bukti bahawa sumber tradisi ini perlu digarap sebagai pemacu pembangunan.

Pengerusi Kadazandusun Cultural Association (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata Pesta Kaamatan menjadi landasan kukuh dalam menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang etnik sejajar dengan tema sambutan tahun ini “Kaamatan Untuk Semua”.

Suasana rakaman temubual Influencer@JAPEN Sabah berlangsung di Dewan KDCA, Penampang pada Khamis.

“Perayaan ini memperlihatkan betapa rakyat Sabah, meskipun berbilang kaum dan agama, mampu hidup dalam harmoni dan saling menghormati. Ini adalah kekuatan yang harus terus kita pelihara, terutama bagi generasi akan datang.

“Sebagai contoh, melalui pelbagai program seperti Sugandoi dan Unduk Ngadau, kita telah menunjukkan betapa pentingnya untuk memelihara bukan hanya seni, tetapi juga cara hidup yang sudah ada dalam budaya kita. Ini adalah cara kita menghubungkan generasi muda dengan akar umbi mereka,” katanya.

Katanya lagi, dengan perayaan Pesta Kaamatan, kita bukan hanya merayakan hasil pertanian, tetapi juga merayakan keharmonian yang wujud di antara masyarakat pelbagai kaum di Sabah

“Ini sekali gus memperkasa perpaduan antara etnik yang berbeza,” katanya dalam program Influencer@JAPEN Sabah, di sini pada Khamis.

Sebagai Huguan Siou atau Pemimpin Agung masyarakat Kadazandusun di Sabah, Tan Sri Pairin turut menekankan kepentingan pemeliharaan budaya dan seni tradisional sebagai aset warisan yang bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Pelbagai aktiviti seperti pertandingan tarian tradisional, persembahan alat muzik etnik, serta pameran makanan dan minuman warisan seperti lihing, linopot dan bambangan adalah antara cara masyarakat terus mewarisi pengetahuan turun-temurun.

“Kita perlu kekalkan kepintaran nenek moyang kita, daripada teknik membuat lihing hingga cara memasak bambangan. Ini bukan hanya soal rasa atau nostalgia, tapi soal jati diri dan kelangsungan budaya kita,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Pesta Kaamatan juga kini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti luar bandar di samping merancakkan lagi sektor pelancongan budaya.

Joseph Pairin menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, JAPEN Sabah Geraldine Voo.

“Melalui pelbagai program yang diadakan, seperti pertandingan tarian tradisional dan persembahan seni, kita memberi ruang kepada masyarakat untuk menunjukkan kebolehan mereka dan menghidupkan kembali amalan budaya yang sudah lama ada.

“Menerusi kegiatan seperti jualan produk tempatan, pameran kraf tangan, dan lawatan ke kampung budaya seperti Koisaan Cultural Village (KCV), pelancong berpeluang melihat sendiri keunikan gaya hidup dan seni bina tradisional suku kaum Sabah,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya inisiatif ini, ia bukan sahaja memperkenalkan budaya kepada pelancong, tetapi mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan untuk masyarakat setempat.

Untuk makluman, acara kemuncak Pesta Kaamatan akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei 2025 dan dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung antaranya untuk menyaksikan Pertandingan Unduk Ngadau, Sugandoi serta pelbagai acara kebudayaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda