Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

PMR 2025 Sabah: Membasmi Kemiskinan melalui Keusahawanan & Infrastruktur MADANI

By 3 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:AgKu Marzuki Bin Ag Latip/Jefren Malaning

TAWAU, 13 Mei (MalaysiaAktif)
– Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Tawau, Sabah membuktikan bahawa pendekatan berasaskan keusahawanan mampu menjadi pemangkin kepada usaha membasmi kemiskinan di negeri ini.

Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penutup sempena Program MADANI Rakyat 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keusahawanan merupakan antara jalan terbaik untuk membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan, dengan memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

Bagi memperkukuh agenda tersebut, beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), termasuk menerusi Projek Tamu Desa Sabah.

“Menerusi Projek Tamu Desa Sabah, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi menyelenggara kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah. Langkah ini bertujuan memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung dalam menguruskan perniagaan harian mereka.

“Hasrat murni ini hanya dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam terus menjulang agenda memperkasakan rakyat,” ujar beliau ketika merasmikan majlis penutupan PMR 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, pada Ahad.

Perdana Menteri melawat salah satu reruai pameran sempena PMR 2025 Sabah yang mengetengahkan pelbagai inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan Program Solar MADANI, satu lagi inisiatif berimpak tinggi di bawah aspirasi Malaysia MADANI, yang bertujuan menambah baik infrastruktur asas dan meningkatkan keselamatan di kawasan luar bandar.

“Bagi pelaksanaan Program Solar MADANI, Kerajaan memperuntukkan lebih RM350 juta untuk pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan di kampung-kampung seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman.

“Projek rintis di Tawau melibatkan pemasangan 40 tiang lampu solar, hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta penglibatan aktif komuniti setempat. Inisiatif ini juga menjimatkan kos kerana menggunakan tenaga boleh baharu, di samping menggalakkan penduduk menjaga kemudahan awam demi kebaikan bersama,” jelas beliau.

Turut disampaikan dalam majlis tersebut ialah Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah kepada lima individu yang berjaya mengubah nasib mereka daripada ‘zero to hero’, serta mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat menerusi bimbingan agensi-agensi kerajaan.

Anwar bersama lima penerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah atas kejayaan mengembangkan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan.

Untuk makluman, Sabah menjadi negeri pertama yang membuka tirai jelajah PMR 2025 yang dianjurkan oleh KUSKOP dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri.

Program ini berjaya menarik lebih 150,000 pengunjung dari seluruh Sabah, khususnya dari daerah Tawau.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian telah dijalankan termasuk 36 reruai kementerian dan agensi kerajaan, penyertaan 158 usahawan Jualan MADANI, pameran aset oleh empat agensi keselamatan, serta Karnival Kerjaya yang melibatkan 15 majikan dengan pelbagai tawaran pekerjaan.

Dari segi pencapaian, jumlah jualan keseluruhan hampir mencecah RM1 juta, manakala inisiatif padanan perniagaan berjaya menjana potensi perniagaan bernilai RM365,000.

Selain itu, pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.4 juta.

-RJ-

Tinggalkan komen anda