
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)
KOTA SETAR, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Anak-anak kelainan upaya (OKU) di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tanjung Bendahara menerima pemeriksaan gigi percuma yang dikendalikan oleh Klinik Pergigian Jalan Datuk Kumbar, hari ini.

Demonstrasi memberus gigi dengan betul
Program ini bukan sekadar memberi rawatan pergigian, malah turut menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mulut dalam kalangan individu berkeperluan khas.
Menurut Pegawai Pergigian dari Klinik Pergigian Jalan Datuk Kumbar, Doktor Tan Vivian, penjagaan kesihatan gigi bagi golongan ini memerlukan pendekatan yang lebih mesra dan inklusif.

Waris dan pelatih mendengar ceramah
“Penjagaan kesihatan gigi individu berkeperluan khas memerlukan perhatian yang lebih teliti serta pendekatan khas yang mesra. Ini kerana mereka sering menghadapi cabaran unik seperti sensitiviti terhadap rasa, bau, tekstur, atau bunyi, selain kesukaran memahami arahan kompleks atau perubahan rutin harian,” katanya dalam ceramah kesedaran yang diadakan sempena program tersebut.
Beliau turut menekankan peranan ibu bapa dalam memastikan penjagaan kesihatan mulut anak-anak istimewa tidak diabaikan.
“Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu memberi penekanan terhadap aspek penjagaan, kesihatan dan rawatan pergigian sejak awal agar anak-anak tidak berdepan dengan masalah pergigian yang serius di masa hadapan,” tambahnya.
Sementara itu, Penyelia PPDK Tanjung Bendahara, Munirah Murshid, berkata aktiviti seperti ini memberi peluang kepada kanak-kanak OKU untuk membiasakan diri dengan suasana pemeriksaan gigi, walaupun ada cabaran tersendiri.
“Pelbagai ragam anak-anak dapat kita lihat hari ini. Ada yang tidak mahu duduk diam semasa pemeriksaan. Ini antara cabaran biasa terutamanya dalam kalangan anak-anak autisme,” katanya.
Selain ceramah dan pemeriksaan, demonstrasi teknik memberus gigi yang betul turut diadakan bagi mendidik anak-anak dan penjaga mengenai amalan kebersihan mulut yang betul.
Program ini merupakan aktiviti tahunan anjuran PPDK Tanjung Bendahara yang bertujuan memperkasakan penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan komuniti OKU serta menyokong usaha ke arah penjagaan kesihatan yang inklusif dan holistik.
-AA-