
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah Abang Ahmad Zaini
BACHOK, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Semangat serumpun terus disemarakkan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung di sini menerima kunjungan delegasi pelajar dari Binar Ilmu Boarding School, Bandung, Indonesia menerusi Program Jalinan Muhibbah Nusantara 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Mei.
Program tiga hari yang mengetengahkan pertukaran pendidikan dan budaya antara Malaysia dan Indonesia ini membuka ruang kepada pelajar kedua-dua negara untuk mengenali serta memahami sistem pendidikan, budaya dan cara hidup masing-masing.
Menurut Pengetua SMK Sri Gunung Azmi Awang, program ini merupakan bukti hubungan erat dua hala antara Malaysia dan Indonesia bukan sekadar pada tahap diplomatik tetapi turut disemai dalam bidang pendidikan.

Pengetua SMK Sri Gunung,Azmi Awang menandatangi sijil program bersama Pengetua Binar Boarding School Dr. Dadang Suhendar.
“Program ini adalah platform terbaik memperkasakan pemahaman rentas budaya serta memperluas cakerawala pemikiran pelajar ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika menyambut delegasi dari Indonesia.
Sementara itu, Pengetua Binar Ilmu Boarding School Dr. Dadang Suhendar, menyifatkan program seumpama ini sebagai peluang berharga kepada para pelajarnya yang rata-rata datang daripada latar sosioekonomi mencabar.
“Kebanyakan pelajar kami hanya mampu belajar sehingga tahap Sekolah Dasar kerana faktor kewangan.
“Program seperti ini membuka mata mereka tentang pentingnya pendidikan dan masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Delegasi dari Indonesia turut diberi peluang menikmati pelbagai juadah tradisional Kelantan seperti roti jala, kuzi ayam, tepung pelita, butir nangka dan akok, sekali gus memperkenalkan kekayaan warisan gastronomi tempatan.
Peorang pelajar dari Indonesia Salsabila Meida, 16, meluahkan rasa gembira atas penyertaannya dalam program ini.
“Makanan di sini sangat enak dan ada juga yang mirip dengan makanan kami di Indonesia.
“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat menyertai program ini,” katanya.

Para Pelajar Binar Ilmu Boarding School mempelajari cara membuah Bubur Butir Nangka daripada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Sri Gunung.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program termasuk lawatan ke fasiliti sekolah seperti kelas Tingkatan Enam, makmal sains dan bengkel masakan Pendidikan Khas Integrasi.
Turut diadakan aktiviti sukaneka, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), persembahan kebudayaan seperti dikir barat dan tarian tradisional serta lawatan ke institusi pendidikan tempatan.
Program turut diserikan dengan aktiviti santai seperti rehat minda di Pantai Irama Bachok yang memberi peluang pelajar berinteraksi secara tidak formal sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
Program Jalinan Muhibbah Nusantara ini membuktikan bahawa pendidikan adalah jambatan strategik dalam memperkukuh hubungan serantau yang harmoni dan penuh makna, ke arah pembentukan generasi serumpun yang lebih bersatu dan berdaya saing.
-ZS-