Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku Bentuk Generasi Muda Celik Demokrasi

By 1 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Charlane Aloysius Sitaim/Rafidawati Mohd Taip (Sandakan)

SANDAKAN, 29 Mei (MalaysiaAktif) – Pendidikan awal mengenai tanggungjawab sebagai pengundi dan kepentingan menyertai proses demokrasi wajar diterapkan di peringkat sekolah bagi melahirkan generasi muda yang celik demokrasi serta berwibawa.

Pegawai Penyelaras Pendidikan Pengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sabah Ebur Sabtar, berpendapat Taklimat Sistem Demokrasi yang diadakan sempena Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku Daerah Sandakan membantu memberikan gambaran proses pilihan raya kepada pelajar yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Pegawai dari Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah membimbing pelajar dalam sesi persiapan Simulasi Pilihan Raya.

“Taklimat ini memberikan gambaran jelas tentang struktur pilihan raya, fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), serta peranan rakyat dalam memastikan keutuhan sistem demokrasi negara.

“Demonstrasi ini memberikan gambaran sebenar tentang tatacara pengundian, seterusnya memberi pengalaman langsung kepada pelajar dalam menjalani proses pilihan raya secara sistematik,” ujarnya.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Sandakan bersama Kelab Malaysiaku Daerah Sandakan dengan kerjasama Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura Bestari, di sini kelmarin melibatkan penyertaan 160 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah sekitar daerah ini.

Menurut Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Elopura Bestari Wee Fwen Yep, program ini sangat berkesan terutama melibatkan pendedahan secara teori dan praktikal.

“Program sebegini amat bermanfaat kepada pelajar sebagai persediaan awal sebelum mereka mengundi dalam pilihan raya yang sebenar nanti.

“Melalui taklimat dan simulasi pilihan raya ini, para pelajar bukan sahaja dapat mempelajari teori mengenai pilihan raya tetapi mereka sangat teruja kerana ini adalah pertama kali mereka akan mengundi,” jelasnya.

Sesi bergambar bersama peserta dan guru dalam Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku Daerah Sandakan.

Pegawai Penerangan Daerah Sandakan Abdul Aziz Abdul Karim, berkata pendidikan Amalan Demokrasi memberi pemahaman mengenai proses pilihan raya di Malaysia serta melahirkan pengundi muda yang matang dan bijak dalam membuat pilihan.

“Pendidikan Amalan Demokrasi perlu bermula di peringkat sekolah, bagi membentuk nilai patriotisme dan juga semangat cinta negara.

“Apabila mereka keluar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi nanti, mereka boleh membuat pertimbangan yang wajar,” katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Enam SMK Segaliud Arifrizan Syah Mukammad, 19, simulasi ini membuka mata mereka sebagai pengundi muda tentang pentingnya setiap undi dan peranan rakyat dalam menentukan hala tuju negara.

“Taklimat Sistem Demokrasi ini tidak asing bagi kami kerana dalam subjek Pengajian Am kami didedahkan tentang pilihan raya dan simulasi ini banyak mendedahkan kepada kami proses pilihan raya begitu teratur dan penting,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda