
Oleh: Sumardi Sugiman / Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Kampung Peros, anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Bau, telah berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Kampung Peros semalam, mencerminkan kejayaan dalam memperkukuhkan semangat kejiranan, kekeluargaan serta perpaduan komuniti setempat.
Program yang mengetengahkan pendekatan santai dan bersemuka itu bukan sahaja menjadi platform untuk menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan serta isu semasa, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkasakan hubungan dalam kalangan penduduk pelbagai lapisan usia dan latar belakang.

Selain ceramah dan pelbagai pengisian menarik, sesi dialog turut menjadi tumpuan utama peserta Komuniti MADANI Kampung Peros yang berlangsung di Dewan Kampung Peros, semalam.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Peros, Sata Najoi, 60, menegaskan kepentingan program seperti ini dalam menyalurkan maklumat sahih, tepat dan terkini kepada masyarakat.
“Program secara santai dan bersemuka seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran penduduk terhadap pelbagai isu semasa, khususnya dalam menangani cabaran berita palsu, buli siber dan penipuan dalam talian (scammer).
Ia juga berjaya menyatukan komuniti kampung kami secara lebih erat,” jelas beliau.

Denny memberi penerangan tentang bahan penerbitan JAPEN yang diedarkan bagi meningkatkan kesedaran komuniti terhadap taktik penipuan scammer.
Tambahnya lagi, penghayatan Rukun Negara turut diberikan penekanan dalam program ini sebagai asas membina semangat muhibah dan kejiranan yang kukuh, bermula dari institusi keluarga.
Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Penerangan Daerah Bau, Sumardi Sugiman, bersama wakil-wakil komuniti setempat.
-RJ-