
Laporan/foto: Boniface Watt Su/Abg Haffali Mohd Nor (Sarawak)
PAKAN, 28 Mei (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI: Sambutan Perayaan Pra Gawai 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Rumah Entengan Tubai Buah, di sini semalam.

Entengan Matek ketika menyampaikan ucapan.
Ketua Komuniti MADANI Rumah Entengan Tubai Buah, Entengan Matek dalam ucapannya, berkata program seperti ini memberi impak yang amat positif dalam memperkukuh perpaduan komuniti, mengeratkan institusi kekeluargaan serta mempererat hubungan kejiranan.
“Program ini amat bermakna buat masyarakat tempatan dalam usaha memelihara adat dan warisan budaya Iban, sejajar dengan semangat perayaan Gawai yang bakal disambut tidak lama lagi,” ujarnya.
Dimulakan dengan sesi taklimat khas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Sibu berkenaan ancaman penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, termasuk langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil oleh masyarakat.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pakan itu menjadi platform penting dalam memupuk semangat Malaysia MADANI melalui kerjasama erat antara komuniti setempat dan pihak jabatan.

Taklimat mengenai keselamatan dalam talian dan Chatbot AIFA oleh Pegawai Eksekutif MCMC Cawangan Sibu, Doris Unggng.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Pakan Thomas Mandang, berkata program seumpama ini merupakan medium yang berkesan untuk menyampaikan maklumat mengenai inisiatif kerajaan serta isu-isu semasa yang sahih dan tepat kepada komuniti setempat.
“Melalui program seperti ini, komuniti dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan serta penyebaran maklumat palsu,” jelasnya.
Inisiatif JIWA@Komuniti MADANI berfungsi sebagai wahana untuk memperkasa komuniti luar bandar, meningkatkan tahap literasi maklumat mengenai isu semasa dan menggalakkan penyebaran maklumat yang tepat melalui saluran rasmi kerajaan.
Turut hadir ahli-ahli Komuniti MADANI Rumah Rinya dan Komuniti MADANI Rumah Janang.
-ZS-