
Laporan/foto: Mohd Sukri Ismail
TUMPAT, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Program Mini ASAS Penerangan khusus untuk Ketua Komuniti MADANI di daerah ini telah diadakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Terbok, di sini kelmarin.

Suhaida berkata NADI turut berperanan menyediakan kemudahan pembelajaran secara dalam talian.
Pengurus NADI Terbok Suhaila Sukiman, berkata NADI berperanan sebagai pusat maklumat yang bukan sahaja menyalurkan taklimat dan kempen kerajaan, tetapi turut menyediakan kemudahan pembelajaran secara dalam talian, termasuk tuisyen untuk pelajar menghadapi peperiksaan serta sokongan kepada bakal usahawan.
“Melalui program seperti ini, kita bantu komuniti menguasai teknologi dan maklumat agar lebih berdaya saing dan lestari,” jelas beliau.
Peserta program yang juga wakil Komuniti MADANI Daerah Tumpat Saifullah Che Mat, 38, menyambut baik inisiatif ini.
“Program seperti ini sangat sesuai dengan keperluan zaman sekarang di mana penyampaian maklumat banyak berlaku melalui media sosial dan kandungan digital,” ujarnya.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tumpat dengan kerjasama NADI Terbok ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran komunikasi khususnya dalam aspek pengucapan awam, penyuntingan video dan penyampaian maklumat digital secara berkesan dan menarik ini turut memperkasakan komuniti dalam menghadapi mendalami ilmu media siber.

Sesi perkongsian ilmu kemahiran berkomunikasi dengan olahan isu-isu semasa yang terkini oleh Nadiya.
Penolong Pengarah Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Kelantan Nadiya Haneem Zaminudin, berkata penganjuran program ini turut bertujuan melatih ketua dan ahli-ahli jawatankuasa Komuniti MADANI untuk menyampaikan maklumat dengan lebih yakin dan difahami masyarakat setempat.
“Sambutan sangat menggalakkan. Ini menunjukkan kesediaan komuniti untuk berubah dan maju seiring teknologi,” katanya.
Sementara itu Penolong Pengarah Cawangan Media Siber JAPEN Negeri Kelantan Nur Amirah Abd Rani, turut memberi pendedahan asas mengenai teknik suntingan video, gambar serta penambahan elemen bunyi agar kandungan media yang dihasilkan lebih menarik dan mudah dikongsi di platform digital.
-ZS-