
Laporan/foto: Sharifah Fairuz Mohd Tahir (Kinabatangan)
KINABATANGAN, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Program Pendidikan Pengundi @ Voters Education (VE) dilihat mampu meningkatkan kefahaman pelajar mengenai demokrasi, proses dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi menjelang usia 18 tahun.

Pelajar Tingkatan 6 tidak melepaskan peluang bertanyakan soalan secara langsung kepada Ebur semasa sesi interaktif bersama SPR, kelmarin.
Pegawai Penyelaras Pendidikan Pengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sabah, Ebur Sabtar berkata, bahawa program ini penting dalam memberikan pendedahan awal mengenai proses dan cabaran pilihan raya menerusi taklimat dan simulasi.
“Pendedahan seperti ini dapat membantu golongan remaja melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dengan kaedah yang betul. Inisiatif ini juga bertujuan mendekatkan SPR dengan masyarakat dan menyemai semangat mengundi dalam kalangan generasi muda,” katanya.
“Selain memberikan taklimat, kami juga mengadakan simulasi pilihan raya iaitu demonstrasi bagi menunjukkan kepada pelajar situasi sebenar semasa mengundi pada pilihan raya,” ujarnya semasa Majlis Perasmiam Program JIWA Madani @ Kelab Malaysiaku Daerah Kinabatangan di SMK Bukit Garam I di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pengetua SMK Bukit Garam I, Jamaludin Pitrus menyifatkan, inisiatif itu sebagai penting bagi menerangkan prinsip demokrasi sebagai rakyat dan wajar diperluas ke semua sekolah.
“Program ini amat bertepatan dengan situasi semasa kerana majoriti pelajar Pusat Tingkatan 6 SMK Bukit Garam kini telah mencapai umur kelayakan untuk mengundi. Pengalaman pertama mereka mungkin akan berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang apabila kerajaan negeri dibubarkan kelak.

Sesi soal jawab menjadi platform pelajar untuk melontarkan persoalan dan mendapatkan penjelasan terus daripada pihak SPR.
“Kami berharap program seperti ini diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain bagi melahirkan pengundi muda yang berpengetahuan dan bertanggungjawab,” katanya.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kinabatangan ini turut dijayakan dengan kerjasama Kelab Malaysiaku SMK Bukit Garam I dan II dengan kehadiran sekitar 100 pelajar Tingkatan 6 dan guru.
Antara pengisian menarik dalam program ini termasuk Taklimat Jenayah Siber oleh Pejabat Penerangan Daerah Kinabatangan, Pendidikan Pengundi oleh SPR Sabah, Kuiz Kenegaraan, serta edaran bahan penerbitan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.
Turut hadir dalam program ialah Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Kinabatangan, Sharifah Fairuz Mohd Tahir dan Penolong Kanan Pusat Tingkatan 6 merangkap Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku, Kasmah Ramzali.
-RJ-