Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Program Sew&Save Sempena Hari Bumi Sedunia 2025

By 43 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurulaini/Aidil (Kulai)

KULAI, 5 Mei (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2025, satu program komuniti bertemakan pemuliharaan alam sekitar telah dilaksanakan melalui Program Sew&Save: Bengkel Menjahit Jangka Pendek yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Senai di sini, semalam.

Ucapan perasmian penutup Program Sew&Save: Bengkel Menjahit Jangka Pendek oleh Wong Bor Yang, ADUN Senai

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Pejabat Ahli Dewan Negeri Senai, Komuniti MADANI DUN Senai, Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia dan NADI Senai yang bertujuan memberi peluang kepada golongan wanita termasuk wanita bekerjaya, lepasan SPM/STPM, suri rumah dan ibu tunggal untuk menambah kemahiran menjahit sekaligus menjana pendapatan tambahan, sejajar dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

Menurut Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia merangkap Ketua Tenaga Pengajar bengkel, Zulaikha Zaidi, bengkel ini bukan sahaja memperkenalkan teknik jahitan kreatif, malah menekankan aspek kelestarian alam sekitar melalui penggunaan semula bahan terpakai.

Peserta diberikan tunjuk ajar untuk menghasilkan Reversible Bag oleh tenaga pengajar dari Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia

“Biasanya pakaian lama berakhir di tong sampah atau dijadikan kain lap namun melalui seni jahitan kreatif ini, pakaian ini boleh diubah menjadi sesuatu yang lebih berharga dan boleh digunakan semula.

“Ini membuka peluang kepada peserta untuk melihat potensi ekonomi daripada bahan yang dianggap tidak bernilai,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang, dalam ucapan perasmian penutup, berkata bahawa inisiatif seperti Program Sew&Save menunjukkan bahawa usaha menjaga alam sekitar boleh bermula dari rumah.

“Apabila kita belajar menjahit menggunakan bahan kitar semula, kita bukan sahaja memelihara bumi tetapi juga mencipta peluang ekonomi baharu.

“Produk berkonsepkan upcycle ini memberi nilai tambah kepada sesuatu barangan dan menjadikannya lebih menarik,” jelasnya..

Sebagai pengiktirafan kepada penyertaan aktif, semua peserta menerima sijil tamat bengkel yang menandakan kejayaan mereka menyempurnakan kursus jangka pendek ini.

Turut hadir dalam majlis Koordinator Program, Pang Yu En, Pegawai Penerangan Daerah Kulai, Norasilah Ibrahim, Pengurus NADI Senai, Rabiatul Fatimah Abd Karim serta Setiausaha Komuniti MADANI DUN Senai, Azlina Othman.

-AA-

Tinggalkan komen anda