
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/PKD Pekan
PEKAN, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 1,500 penduduk hadir memeriahkan program ‘Terjah dan Redah Komuniti Nenasi Pekan’ anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, di sini Ahad lalu.

Dr. Mohd Fahmi ketika merasmikan program ‘Terjah dan Redah Komuniti Nenasi’.
Program yang bermula seawal pukul 8.00 pagi itu bertujuan untuk mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan termasuklah saringan kesihatan percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, paras gula dalam darah dan indeks jisim tubuh (IJT).
Pegawai Kesihatan Daerah Pekan Dr. Mohd Fahmi Ismail dalam ucapannya menyatakan rasa bangga dan gembira melihat sambutan hangat yang diberikan oleh komuniti Nenasi.

Pemeriksaan kesihatan percuma mendapat sambutan hangat dalam program ‘Terjah dan Redah Komuniti Nenasi’.
“Kehadiran seramai 1,500 orang penduduk ini menunjukkan bahawa masyarakat semakin peka terhadap kepentingan kesihatan yang mana ini adalah satu petanda positif dan kami di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan akan terus berusaha untuk menganjurkan lebih banyak program seperti ini di masa hadapan,” katanya.
Menurutnya lagi, program seperti ini bukan sahaja membantu dalam mengesan masalah kesihatan di peringkat awal, malah turut menjadi platform untuk merapatkan silaturahim antara agensi kesihatan dengan masyarakat.
“Kami berharap agar setiap ilmu dan maklumat yang dikongsikan hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.
-ZS-