
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 4 Mei (MalaysiaAktif) – Reruai promosi sempena Borneo Flora Festival@Labuan 2025 (BFF@Labuan 2025) kini dibuka di Lapangan Terbang Labuan bagi menyerlahkan keistimewaan dan keunikan acara itu kepada masyarakat.

Noridah (dua dari kanan) selepas menyempurnakan perasmian Reruai promosi BFF@Labuan 2025
Menurut satu kenyataan Perbadanan Labuan, pembukaan reruai promosi di lokasi strategik seperti lapangan terbang membolehkan capaian terus kepada pelawat domestik dan antarabangsa, dan secara tidak langsung mengukuhkan imej Labuan sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan khazanah alam dan budaya.
“Reruai itu memberi peluang kepada pelancong serta pengunjung untuk merasai sendiri keindahan dan keunikan pameran bunga-bungaan landskap dan taman yang bakal ditampilkan dalam acara yang julung kali diadakan pada 26 hingga 30 Julai 2025 bertempat di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Produk cenderamata seni kraftangan jenama LAWA turut menjadi tarikan para pelawat di Lapangan Terbang Labuan
“BFF@Labuan 2025 bakal menghimpunkan peminat bunga, usahawan holtikultur dan pempamer dari seluruh negara dengan sokongan pelbagai rakan strategik termasuk agensi kerajaan, swasta dan penggiat komuniti sekaligus berpotensi menjadi ikon pelancongan baharu yang memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi di rantau ini,” menurut kenyataan itu semalam.
Reruai promosi tersebut turut menampilkan jualan produk cenderamata seni kraftangan dari jenama LAWA yang merupakan inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam menjenamakan hasil industri kraftangan, warisan dan budaya di Wilayah Persekutuan.
“Antara hasil seni kraftangan yang diketengahkan adalah seni kraftangan berasaskan hasil hutan dan laut, seni lukisan batik, seni anyaman tradisional, seni jahitan kreatif serta seni hiasan dan sulaman manik,”menurut kenyataan itu lagi.
Reruai promosi BFF@Labuan 2025 dirasmikan Ketua Pengarah JWP, Datuk Noridah Abdul Rahim.
-AA-