Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

RM3.9 Juta Diperuntukkan untuk Institusi MAIWP Labuan Pada 2024

By 10 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Harold Heizry Othman (Labuan)

LABUAN, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sebanyak RM3,966,900 daripada dana zakat yang dikutip untuk tiga institusi MAIWP di Labuan pada tahun lepas.

Md Fadzli (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang guru Permata MAIWP Labuan.

Menurut Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad peruntukan itu merupakan agihan zakat secara tidak langsung yang merangkumi pelbagai aspek kebajikan pelajar seperti penyediaan makanan, kemudahan tempat tinggal, pembelajaran harian, sokongan pengurusan dan pembangunan insan.

“Ia menyokong bukan hanya pelajar yang tinggal di asrama, bahkan juga pelajar harian di Permata MAIWP Labuan, agar mereka dapat menimba ilmu dalam suasana yang kondusif dan selesa.

“Tiga institusi utama di bawah MAIWP di yang dipertanggungjawabkan kepada Unit Pembangunan Insan bagi tujuan penyelarasan di Labuan iaitu Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan (SMA MAIWP), Darul Kifayah MAIWP Labuan dan Permata MAIWP Labuan,” katanya semasa merasmikan Majlis Apresiasi Institusi MAIWP Labuan Tahun 2024, di sini semalam.

Antara warga institusi MAIWP yang hadir dengan pelbagai busana etnik.

Jelasnya, bagi tahun 2025 MAIWP telah meluluskan peruntukkan berjumlah RM4.37 Juta untuk ketiga-tiga institusi itu sejajar dengan keperluan semasa dengan harapan agar pencapaian-pencapaian cemerlang yang pernah dicapai oleh institusi-institusi ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan lagi.

“Saya menyeru kepada semua warga institusi agar teruskan usaha dengan lebih tekun dan tawakkal kepada Allah selain jadikan tahun ini titik tolak kepada kecemerlangan yang lebih tinggi, dengan semangat yang lebih mantap dan niat yang lebih jitu,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Murabbi, Anugerah Peningkatan GPMP (SMA MAIWP), Anugerah Guru Inovatif dan Kreatif (Permata MAIWP), Anugerah Khas Pengurusan dan Pentadbiran, Anugerah Khas Ko-Kurikulum dan Anugerah Khas Kakitangan Pelaksana kepada pendidik serta kakitangan institusi MAIWP Labuan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda