Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Roti Seringgit, Resepi Bangsawan

By 24 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

KLANG, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Kedai kek yang beroperasi di hadapan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang sentiasa diserbu ketika tamat waktu persekolahan kerana menjual roti bun dengan harga seringgit.

Roti bun sosej antara menu roti seringgit yang paling laris dijual sentiasa menjadi kesukaan kanak-kanak.

Pemilik Sweet Mama Bakery, Firdaus Mustafa, 34, berkata idea menjual roti bun serendah RM1 untuk menarik pelanggan kanak-kanak memandangkan kedainya beroperasi di hadapan sekolah sejak tahun 2017.

“Tak sangka sambutan diterima amat menggalakkan, bukan sahaja kanak-kanak yang datang membeli roti bun tetapi juga mendapat tempahan dari sekolah lain, pejabat dan pernah mendapat tempahan sehingga ke Kuala Lumpur.

Ujarnya lagi, tagline (slogan) yang digunakan ‘Roti Seringgit, Resepi Bangsawan’, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis roti bun segar yang dibakar setiap hari dijual pada harga RM1 dan RM2.

Kek rakyat serendah RM20 sentiasa mendapat sambutan di samping pelbagai jenis kek yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan di Sweet Mama Bakery.

“Saya menjual antara 300 hingga 400 roti bun sehari, dan pernah menerima tempahan mencecah 1,000 biji sehari termasuk dari sebuah stesen televisyen swasta.

“Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, saya juga dibantu oleh empat orang pekerja,” katanya yang ditemui, di sini semalam.

“Selain itu, saya juga menjual kek rakyat dengan harga serendah RM20 dengan harapan semua orang mampu sambut hari istimewa tak kira bajet besar atau kecil,” ujarnya yang juga aktif mempromosikan produknya melalui media sosial.

Tambah Firdaus, terdapat empat perisa kek rakyat yang dijualnya antaranya perisa strawberi, beri biru, mangga dan kiwi.

Kini, Firdaus dalam usaha mencari ruang niaga yang lebih besar sekitar Rantau Panjang, Klang bagi mengembangkan lagi perniagaannya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda