
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/IPD Hilir Perak
TELUK INTAN, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas sejumlah 104.17 gram dadah jenis heroin, 8.06 gram syabu dan 42.20 gram methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) di sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong, di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 12.00 tengah hari itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak membabitkan sebuah rumah pusaka.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr. Bakri Zainal Abidin, berkata kedua-dua suspek berusia masing-masing 35 dan 37 tahun itu mengaku terlibat dalam aktiviti penagihan dadah seawal umur 20 tahun dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis morphine manakala suspek kedua positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, semakan rekod jenayah lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod dadah sebanyak sembilan kes.
“Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 308 orang. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
-ZS-