
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Bertemakan ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 disambut meriah dan penuh gemilang oleh kira-kira 5,000 orang guru dari seluruh pelusuk negeri dan negara yang memenuhi ruang Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.

Nurul Adani Arni.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dalam ucapan aluannya telah mengumumkan enam berita gembira buat warga pendidik sebagai satu usaha menghargai penat lelah warga pendidik warga bangsa serta memartabatkan sistem pendidikan negara ini.
Di antara inisiatif yang mendapat sambutan hangat daripada para guru ialah permohonan pertukaran dibuka kepada guru-guru selepas mereka berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat.
Menurut seorang bakal guru yang merupakan pelajar di Institut Penguruan Guru Batu Lintang, Nurul Adani Arni, 21, tempoh selama dua tahun yang diberikan untuk mengajar di sekolah yang jauh baginya mencukupi untuk menimba pengalaman sebelum memohon pertukaran.
Fadhlina turut mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan seramai 1,470 orang personal MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun ini dan sekolah terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua pembantu guru.

Haneem Hosman (kiri), guru yang kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Dalat.
Seorang guru yang mempunyai pengalaman mengajar selama 13 tahun dan kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Dalat, Haneem Hosman, 38, berkata ketika ini tanggungjawab guru terlalu banyak dan bukan hanya mengajar.
“Guru juga melakukan tugas-tugas perkeranian dan beberapa tugas sampingan yang lain sehingga ada yang tidak dapat melaksanakan tugas hakiki iaitu mengajar dengan baik.
“Oleh itu, saya amat menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan untuk menempatkan dua pembantu guru di sekolah, sekurang-kurangnya beban guru dapatlah diringankan sedikit dan guru-guru lebih fokus untuk melaksanakan tugas hakiki mereka,” ujarnya.
-RJ-