
Laporan/foto: Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Sebanyak 31 kesatuan sekerja di Zon Sarawak menerima bantuan di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 bagi memperkasakan peranan serta keupayaan kesatuan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan.

Abdul Rahman Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan bantuan PHEKS 2025 kepada penerima di majlis Zon Sarawak, Kuching, kelmarin,
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, bantuan ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk mempromosikan hak pekerja dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesatuan sekerja di tempat kerja.
“Bantuan PHEKS adalah platform penting bagi menyokong pembangunan kesatuan agar dapat terus relevan dan berfungsi sebagai suara kepada golongan pekerja,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan PHEKS 2025 Zon Sarawak di sini, kelmarin.

Nur Izzaitul menerima bantuan di bawah Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2025 di sini kelmarin..
Salah seorang penerima, Nur Izzaitul Fitri Zambia, 33, yang mewakili Sarawak Teacher’s Union cawangan Limbang, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
“Kami amat berterima kasih kepada PHEKS atas peluang ini. Dana yang diberikan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk latihan dan program pendidikan yang dapat meningkatkan mutu perkhidmatan guru-guru di Limbang,” ujarnya.
Program PHEKS dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
-RJ-