
Laporan/foto: Halimah Abd Ghani (Timur Laut)
GELUGOR, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Bermodalkan geran daripada kerajaan sebanyak RM100,000 menerusi inisiatif SejaTI MADANI, komuniti di Lengkok Bawah melakar kejayaan tersendiri menerusi projek pertanian akuaponik dan hidroponik yang dijalankan secara bersepadu.

Komuniti Lengkok Bawah sedang menuai hasil tanaman mereka.
Diusahakan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lengkok Bawah, projek ini merangkumi penternakan ikan talapia serta penanaman sayur-sayuran seperti sawi, bendi, salad dan sawi putih di atas kawasan seluas kira-kira 1,000 kaki persegi.
Menurut Pengerusi MPKK Lengkok Bawah, Gogeshwariy Ragu, 33, projek ini bukan sahaja berjaya menjana hasil malah telah membuka peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan sampingan.
“Kami rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana berpeluang belajar dan terlibat dalam projek yang sangat bermanfaat ini
“Projek ini bukan sahaja menguntungkan dari segi hasil, tetapi juga memberi ilmu baru serta menambah pendapatan penduduk setempat,” ujarnya, di sini kelmarin.

Keadaan di luar projek akuaponik dan hidroponik komuniti Lengkok Bawah yang diusahakan di atas tanah kerajaan negeri.
Selain menjana ekonomi projek ini turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Sistem akuaponik dan hidroponik yang digunakan terbukti lebih cekap dari segi penggunaan air serta mengurangkan kebergantungan kepada tanah, menjadikannya pilihan ideal bagi kawasan komuniti berkeluasan terhad seperti di Lengkok Bawah.
Lebih penting hasil pertanian daripada sistem ini diyakini lebih segar, sihat dan bebas bahan kimia sekali gus menjamin kualiti makanan untuk kegunaan harian.
Peserta yang terlibat juga berharap agar projek ini dapat berkembang lebih lagi dan menyeru agar setiap keluarga memulakan langkah kecil dengan menanam sayur sendiri sebagai usaha ke arah jaminan makanan dan gaya hidup sihat.
-ZS-