
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 16 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Bandar Baharu 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 500 orang pengunjung di Kompleks Sukan Daerah Bandar Baharu, di sini semalam.
Bertemakan ‘Yakin Boleh’, program ini menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti acara senamrobik, larian ria, pameran jabatan kerajaan, permainan tradisional serta gerai-gerai jualan makanan.

Mohd Noor (tengah) ketika merasmikan Sambutan Semarak Hari Belia Negara Peringkat Daerah Bandar Baharu 2025.
Lebih mencuri tumpuan, program ini turut memperkenalkan reruai kamera 360 pertama di Bandar Baharu, selain pertandingan e-sukan Mobile Legend yang berjaya menarik minat golongan belia.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu Mohd Noor Ismail, yang menzahirkan penghargaan terhadap penglibatan aktif golongan muda dalam menjayakan program tersebut.
“Pengisian hari ini akan menjadi titik mula kepada generasi rakan muda untuk terus menyumbang dalam memperkukuhkan semangat slogan Malaysia MADANI,” ujarnya dalam ucapan perasmian.
Tambah beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk golongan belia ke arah hala tuju bercorak kepimpinan dan pembangunan sahsiah diri.
Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Serdang yang juga peserta larian ria, Muhammad Hafiy Nawfal, meluahkan rasa bangga apabila berjaya meraih pingat 100 peserta terbaik.

Muhammad Hafiy Nawfal bangga apabila berjaya meraih pingat 100 peserta terbaik.
“Saya rasa bangga kerana berjaya tersenarai antara 100 peserta terbaik.
“Saya lebih bersemangat ketika memulakan larian kerana penyertaan hari ini bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah, malah terbuka kepada semua termasuk peserta dari luar Bandar Baharu,” jelasnya.
Program ini dianjurkan bersama oleh agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama komuniti setempat, sebagai platform memperkasakan golongan belia melalui aktiviti sihat dan berimpak tinggi.
-ZS-