Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Seni Kaligrafi Cina Pererat Perpaduan Kaum di Sarawak

By 27 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Nor Hidayah Ismail / Janica Jasmine Temaga James (Sarawak)

BINTANGOR, 19 Mei (Malaysia Aktif) – Pertandingan Seni Kaligrafi Cina sempena Program JIWA @Komuniti MADANI anjuran Komuniti MADANI Sungai Tulai dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tulai telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar setempat, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, semalam.

Thomas menyempurnakan majlis perasmian Program JIWA @Komuniti MADANI anjuran Komuniti MADANI Sungai Tulai dengan kerjasama JKKK Sungai Tulai .

Program yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geofferey Kandawang, menjadi lambang kepada semangat perpaduan dan kepelbagaian kaum di Sarawak.

Meskipun seni kaligrafi ini berasal daripada budaya Tiong Hua, pertandingan ini telah menarik penyertaan daripada pelajar berbangsa Iban, Melayu dan lain-lain, sekali gus mencerminkan keharmonian dan keterbukaan komuniti tempatan.

Seni kaligrafi Cina bukan sekadar memperlihatkan keindahan tulisan, malah mengandungi nilai-nilai murni seperti kesabaran, ketelitian serta penghargaan terhadap sejarah dan budaya. Penyertaan merentas kaum dalam pertandingan ini turut menunjukkan bahawa seni mampu merentas sempadan budaya dan menjadi medium penyatuan masyarakat.

“Dengan sikap terbuka dan saling menghormati, kita bukan sekadar menerima perbezaan, malah meraikannya. Program seperti ini jelas membuktikan bahawa seni boleh menjadi jambatan kepada keharmonian kaum,” ujar Ketua Komuniti MADANI Sungai Tulai, Wong Ming Giing, 59 semalam.

Beliau turut menyeru agar kerjasama erat antara komuniti terus diperkukuhkan, bukan hanya di Sungai Tulai, malah dengan komuniti-komuniti berhampiran seperti di Sungai Mador dan Narasit, serta agensi-agensi kerajaan.

Para peserta, termasuk pelajar Iban, tunjuk minat dan semangat dalam Pertandingan Seni Kaligrafi Cina, mencerminkan perpaduan  budaya.

Ketua Komuniti MADANI Rumah Ngumbang, Ngumbang Mansor, 68, pula menegaskan bahawa aktiviti sebegini mampu mengekalkan semangat muafakat dan toleransi antara pelbagai kaum di negeri ini.

Turut memberikan sokongan ialah agensi-agensi kerajaan yang sentiasa menyokong usaha memelihara dan memperkukuh warisan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

-RJ-

Tinggalkan komen anda