
Laporan/foto: Ahmad Shazni Shaari/Wan Muhammad Afiq Wan Mokhtar
KUALA LUMPUR, 11 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Ibu merupakan satu acara istimewa yang diraikan pada setiap tahun bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan para ibu yang menjadi tonggak utama kekuatan dalam sesebuah keluarga.

Ahli Parlimen Segambut turut menyantuni para ibu yang kurang sihat yang hadir di majlis tersebut.
Seiring dengan tema sambutan Hari Ibu 2025 iaitu Sentuhan Kasih Ibu, kira-kira 400 orang kaum ibu telah diraikan dalam suasana yang cukup indah.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Manjalara Datuk Seri Yap Keow Keong, insan yang bergelar ibu, umi, mama, mummy, ma dan amma merupakan insan luar biasa yang tidak pernah mengenal erti penat dalam mencurahkan kasih sayang kepada anak anak.
“Sesungguhnya jasa dan dedikasi kaum ibu kepada kita semua telah memberi impak besar dalam kehidupan seharian kita,” ujarnya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Ibu 2025 di Taman Bukit Maluri yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, di sini semalam.

Edaran bahan penerbitan oleh petugas Jabatan Penerangan kepada masyarakat setempat.
Program anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Segambut dengan kerjasama Komuniti MADANI Manjalara, Persatuan Penduduk Taman Bukit Maluri serta Persatuan Senaman dan Kesihatan Neijing Yizhichan Antarabangsa bukan sahaja meraikan para ibu, malahan secara tidak langsung telah memperlihatkan semangat kekitaan dalam kalangan komuniti setempat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
-ZS-