
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Istana Melaka
MELAKA, 27 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka 2025 telah berlangsung di Dewan Keris Laksamana, Penjara Sungai Udang, di sini semalam.

Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Asmah Ab Rahman menyampaikan anugerah pada majlis tersebut.
Tema bagi Sambutan Hari Ibu Tahun 2025 adalah ‘Sentuhan KASIH Ibu’ tema ini dipilih sebagai penghargaan terhadap peranan penting seorang ibu dalam mencorak, membentuk nilai-nilai murni serta menyemai kasih sayang dalam institusi keluarga.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka Datuk Kalsom Noordin, sentuhan kasih seorang ibu bukan sahaja merujuk kepada belaian fizikal, tetapi turut melambangkan kelembutan hati, ketulusan jiwa dan kekuatan emosi yang menjadi tunjang kepada pembangunan karakter anak-anak dan kesejahteraan keluarga.

Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Ab Rahman menyempurnakn Perasmian Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025.
“Setiap sentuhan sama ada dalam bentuk perhatian, didikan, pengorbanan mahu pun doa membawa pengaruh yang besar dalam mencorak peribadi generasi masa depan.
“Hargai jasa dan kasih sayang ibu, bukan hanya pada Hari Ibu, tetapi pada setiap hari, sememangnya kita tidak mampu membalas segala jasa ibu dan percayalah ibu juga tidak mengharapkan balasan wang dan harta daripada anak,” ujarnya.
-ZS-