
Laporan/foto: Magdellina Alfred Jeho (Sarawak)
KUCHING, 28 Mei (MalaysiaAktif) – Seni kraf tangan Bidayuh iaitu ‘sombon’ yang juga dikenali sebagai rantai manik Bidayuh merupakan aksesori yang kebiasaannya dipakai bersekali dengan kostum tradisional Bidayuh sama ada lelaki atau wanita semasa perayaan Gawai.

“Sombon” yang telah siap dihasilkan oleh Johiam.
‘Sombon’ dipakai secara bersilang pada badan pemakai.
Pada zaman dahulu ia hanya dipakai oleh wanita atau lelaki yang terlibat secara langsung dengan upacara Gawai.
Menurut usahawan mikro Johiam Jitui, 50, yang terlibat secara langsung dalam seni aksesori ini, bahan utama untuk membuat aksesori ini adalah manik jenis kaca atau tanah, gigi taring binatang, loceng dan dawai tembaga.
“Walau bagaimanapun, ada antara bahan ini yang susah untuk diperolehi sekarang dan digantikan dengan jenis replika gigi taring binatang manakala proses untuk menyiapkan seutas ‘sombon’ ini mengambil masa antara dua hingga tiga hari,” katanya ketika ditemui semalam.

“Sombon” yang telah siap dihasilkan oleh Johiam.
Johiam, turut berharap seni kraf tangan ini dipelajari oleh generasi muda terutamanya daripada komuniti Bidayuh sendiri kerana ia merupakan warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang.
“Selain mempelajari cara membuatnya, ilmu pengetahuan mengenai asal-usul aksesori tersebut juga harus dipelajari agar ia tidak dilupai dan ditelan oleh arus kemodenan,” katanya.
-ZS-