
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Haziq Ruslain (Labuan)
LABUAN, 4 Mei (MalaysiaAktif) – Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menjadi senjata utama dalam memerangi aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti.

Khairul Anwar (tengah) menyantuni penduduk Taman Perumahan Bedaun semasa membuat rondaan
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Khairul Anwar Bachok masyarakat perlu menyokong usaha KRT melalui SRS bagi memastikan kesejahteraan masyarakat yang terhindar dari aktiviti penagihan dadah.
“Kita perlu bagi semangat kepada KRT untuk mengadakan rondaan dan Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Dalam Negeri menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam usaha memerangi kegiatan penagihan dadah memandangkan dadah masih menjadi musuh nombor satu negara.

Khairul Anwar (kanan) melihat sendiri kesan aktiviti penagihan dadah di salah sebuah rumah terbiar di kawasan itu
“Labuan sendiri mempunyai enam kampung yang termasuk dalam Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dan kita ingin kesemua kawasan ini kembali ‘hijau’ dengan kerjasama semua komuniti serta pemimpin masyarakat sekaligus menjadikan Labuan bebas dari aktiviti ini selain memastikan bekas penagih pulih sepenuhnya,”katanya semasa ditemui pada Program SRS KRT Taman Perumahan Bedaun di sini semalam.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Perumahan Bedaun, Heidar Hussien Muhammad Rashid turut menyatakan komitmen untuk memupuk kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti mereka.
“Kerjasama kali ini amat bermakna kerana kami ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat untuk sama-sama memerangi aktiviti penagihan dadah ini.
“Kami menerapkan budaya saling mengenali dan ambil peduli antara satu sama lain dengan memudahkan para penduduk untuk sentiasa berhubung dengan ketua blok bagi menyampaikan sebarang maklumat mengenai aktiviti penagihan dadah.
“Walaupun kami hanya mempunyai 30 orang sukarelawan SRS kami akan terus memainkan peranan khasnya kepada generasi muda termasuk mengaktifkan Jiran Muda untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran dalam kalangan komuniti kami,” jelasnya lagi.
-AA-