
Laporan/foto: Ahmad Faizal bin Jamil (Kinabatangan)
KINABATANGAN, 16 Mei (MalaysiaAktif)– Alunan suara merdu dalam Pertandingan Sugandoi sempena Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kinabatangan bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi lambang kekayaan warisan budaya Sabah yang terus hidup dari generasi ke generasi.

Johainizamshah menyampaikan ucapan perasmian sempena Pesta Kaamatan dan Pertandingan Sugandoi Peringkat Daerah Kinabatangan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.58 Lamag, Johainizamshah Johari, berkata pertandingan Sugandoi kini semakin mendapat tempat di hati generasi muda kerana nilai seni dan budayanya yang tinggi.
“Sugandoi bukan sekadar pertandingan nyanyian. Ia merupakan satu penghargaan terhadap seni suara nenek moyang kita – sarat dengan nilai budaya, cerita rakyat, dan pengajaran yang membentuk jati diri masyarakat,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kinabatangan pada Khamis.
Beliau turut menekankan bahawa Pesta Kaamatan ialah perayaan yang bukan sahaja menyambut hasil tuaian padi, malah menjadi simbol kesyukuran, perpaduan, dan kepelbagaian budaya masyarakat Sabah.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, komited dalam memperkasa warisan budaya melalui pelbagai inisiatif.

Johainizamshah memukul gong sebagai simbolik perasmian sambutan Pesta Kaamatan dan Pertandingan Sugandoi 2025.
“Selari dengan harapan YAB Ketua Menteri, Pesta Kaamatan harus terus menjadi platform utama untuk menyemai semangat perpaduan, memperkukuh jati diri anak negeri dan membawa seni suara etnik kita ke peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh tentang pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang memberi penekanan kepada pemerkasaan budaya dan perpaduan sebagai sebahagian daripada pembangunan menyeluruh.
Sebelum mengakhiri ucapan, Johainizamshah menyeru para peserta agar menjadikan pertandingan Sugandoi sebagai wadah menonjolkan bakat serta meluahkan rasa bangga terhadap identiti budaya masing-masing.
-RJ-