
Laporan/foto: Azree Zaki (Raub)
RAUB, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Lebih 200 belia dan beliawanis dari seluruh daerah Raub hadir memeriahkan Program Semarak Hari Belia Negara Daerah Raub 2025 yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Dong, di sini semalam.

Fadzli Mohamad ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Raub dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Raub itu bertujuan untuk memperkasakan peranan golongan muda dalam pembangunan masyarakat di samping memupuk semangat kesukanan dan inovasi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal, yang turut menyeru para belia agar terus aktif dalam kepimpinan masyarakat dan pembangunan sukan.
“Golongan belia bukan sahaja aset masa depan, tetapi juga tulang belakang negara hari ini,” ujarnya dalam ucapan.
Antara pengisian program termasuklah senamrobik, pertandingan tae kwan do, seni jalanan, klinik akademi tunas bola sepak dan sembang santai bersama pempengaruh.

Salah seorang peserta program, Nor Iman Irfan Sahrul Nizam, ketika ditemu bual.
Seorang peserta, Nor Iman Irfan Sahrul Nizam, 20, berkata beliau mahu lebih banyak acara diadakan pada penganjuran seterusnya bagi menarik lebih ramai belia dan beliawanis dari seluruh daerah Raub ke program ini.
“Program sebegini perlu terus diperkasakan sebagai simbol komitmen negara dalam membina masa depan yang lebih baik berteraskan potensi belia,” katanya.
-ZS-