
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/HTI
TELUK INTAN, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melawat lima anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 yang cedera dan masih ditempatkan di Hospital Teluk Intan (HTI), di sini semalam.

Sultan Nazrin diringi Dr. Feisul Idzwan (kanan) dan Dr. Khairul Baharin (kiri)
Pada 13 Mei lalu, kemalangan maut membabitkan sebuah trak FRU dan lori muatan batu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, di sini telah mengorbankan sembilan nyawa dan sembilan lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dengan sebahagiannya parah.
Dalam lawatan pagi semalam, baginda berkenan melawat empat anggota FRU yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang lagi anggota yang ditempatkan di wad biasa.
Baginda turut meluangkan masa dan menyantuni keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada kesemua mangsa sebagai tanda keprihatinan dan semoga sumbangan tersebut dapat meringankan beban dan mempermudah segala urusan mangsa dan waris.

Baginda ketika menyantuni keluarga mangsa
Keberangkatan baginda ke HTI disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengarah Kesihatan Perak Dr. Feisul Idzwan Mustapha, Pengarah Hospital Teluk Intan Dr. Khairul Baharin Mohd Baharuddin, Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat dan Ahli Dewan Negara Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Turut hadir Orang Besar Jajahan Hilir Perak Datuk Meor Redwan Mahayudin dan Pegawai Daerah Hilir Perak Mufidah Mahfodz.
-AA-