Skip to main content
Berita TempatanBerita Timur

Sultan Terengganu Rai Warga Istimewa dan Fakir Miskin

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini

KUALA TERENGGANU, 7 Mei (MalaysiaAktif) – Sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-63, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin yang berlangsung di Dewan Santapan, Istana Syarqiyyah, di sini kelmarin.

Sultan Terengganu dan Sultanah Terengganu menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Turut berangkat memeriahkan majlis ialah KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Seramai 400 penerima bertuah dijemput menerima sumbangan diraja, melibatkan 200 warga istimewa termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) melalui penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 100 ibu tunggal melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) serta 100 golongan fakir miskin melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Sultan Terengganu mencemar duli di Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin.

Sultan Terengganu turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap penerima sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang kepada rakyat jelata.

Bagi seorang ibu tunggal dari Kampung Pasir Panjang Hasini Harun, 54, sumbangan tersebut amat bermakna dalam mengurangkan beban perbelanjaan harian.

“Saya sangat terharu dan bersyukur atas keprihatinan Tuanku.

“Sumbangan ini amat membantu, lebih-lebih lagi menjelang musim persekolahan anak. Ia benar-benar meringankan beban kami sebagai ibu tunggal,” katanya dengan nada sebak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda