
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini
SETIU, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Dalam suasana penuh keberkatan dan semangat perpaduan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan merasmikan Masjid Kampung Bukit Putera, Setiu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-63, di sini kelmarin.

Orang ramai turut hadir menyaksikan majlis perasmian Masjid Bukit Putera.
Masjid yang tersergam indah ini bukan sekadar tempat beribadah, bahkan diangkat sebagai nadi komuniti pusat penyebaran ilmu, kegiatan kebajikan serta lambang penyatuan umat Islam.
Dalam titah diraja Baginda, menegaskan peranan masjid sebagai medan memperkukuh keharmonian masyarakat.
Baginda, menyeru agar masjid turut memainkan peranan mendekati masyarakat bukan Islam dengan pendekatan penuh hikmah dan kasih sayang.
“Masjid boleh menjadi medan memperkenal Islam kepada masyarakat bukan Islam dalam suasana penuh hikmah dan kasih sayang dengan pendekatan yang mesra,” titah Baginda.
Sultan Terengganu turut mengingatkan bahawa Islam ialah agama yang menjunjung nilai kedamaian sejagat dan hidup harmoni tanpa mengira bangsa serta agama.
Masjid, menurut Baginda wajar menjadi simbol perpaduan dan kesejahteraan bersama.

Turut berangkat Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Seri Setia Mahkota Raja.
Majlis penuh bermakna ini turut diserikan dengan keberangkatan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Seri Setia Mahkota Raja, menzahirkan sokongan dan penghargaan tinggi institusi diraja terhadap pembangunan syiar Islam di peringkat akar umbi.
Perasmian ini sekali lagi membuktikan komitmen padu pihak istana dalam menjadikan masjid sebagai teras pembangunan masyarakat Islam di Negeri Terengganu.
-ZS-