
Laporan/foto: Nik Aula Nik Soh
KUALA KRAI, 28 Mei (MalaysiaAktif) β Seramai 40 orang suri rumah dari sekitar Kampung Sungai Sok mengambil langkah berani menceburi dunia digital apabila menyertai kelas TikTok Affiliate yang berlangsung di Balai Raya Kampung Sungai Sok, kelmarin.
Program anjuran Komuniti MADANI Lata Rek dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta tentang potensi menjana pendapatan menerusi platform TikTok, khususnya melalui program TikTok Shop Affiliate yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Kelas tersebut dikendalikan oleh Norliana Arifin, 29, seorang usahawan digital dan pakar pemasaran media sosial yang berpengalaman. Beliau membimbing peserta dalam memahami cara untuk mendaftar akaun TikTok Shop, memilih produk yang sesuai, menghasilkan kandungan video yang menarik, serta menggunakan strategi efektif untuk menarik perhatian pengguna dan meningkatkan jualan.

Sesi penerangan kepada suri rumah Kampung Sungai Sok Kuala Krai
βSuri rumah tidak lagi terhad kepada tugas di rumah sahaja. Mereka kini mampu menjana pendapatan sendiri hanya dengan telefon pintar dan sedikit kreativiti,β ujar Puan Liana yang menekankan pentingnya celik digital dalam era teknologi masa kini.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat di mana peserta bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal, malah turut diberi inspirasi melalui perkongsian kisah kejayaan individu yang telah memperoleh pendapatan lumayan menerusi platform TikTok.
Salah seorang peserta, Siti Hawa Mat Yusoff, 39, menyatakan keterujaan selepas menghadiri kelas tersebut.
βSaya tidak pernah terfikir TikTok boleh menjadi sumber pendapatan. Selepas kelas ini, saya lebih yakin dan bersemangat untuk mencuba dan memberi peluang untuk saya membantu kewangan keluarga,β katanya.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Lata Rek, Mohd Zain Mohd Yusof, 63, menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak kampung di sekitar Kuala Krai, demi memastikan golongan wanita luar bandar tidak ketinggalan dalam arus digital.
-AA-