Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Tilawah Al-Quran Serlahkan Bakat Baharu Qari dan Qariah di Kuching

By 20 Mei 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 20 Mei (MalaysiaAktif) – Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran terus menjadi wadah penting dalam mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu dalam kalangan Qari dan Qariah, selain memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Sharifah Hasidah menyampaikan ucapan perasmian Tilawah Al-Quran Daerah Kuching.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuching yang berlangsung semalam di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, selama dua hari telah berjaya menarik penyertaan seramai 26 peserta terdiri daripada 17 Qari dan sembilan Qariah dari sekitar Kuching.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam ucapan perasmiannya berharap agar penganjuran tahunan ini dapat menjadi platform untuk umat Islam bermuhasabah, memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan berusaha ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.

Nursyafiqah menerima hadiah daripada  Sharifah Hasidah (dua dari kanan) selepas diumumkan sebagai Johan Qariah.

Johan Qariah, Nursyafiqah Sulaiman, 28, menyatakan rasa terharu dan tidak menyangka mampu meraih kemenangan dalam penyertaan ketiganya ini.

“Saya amat gembira dan bersyukur kerana berjaya menjuarai tilawah kali ini. Saya berazam untuk melakukan yang terbaik di peringkat bahagian nanti,” katanya ketika ditemui semalam.

Nursyafiqah yang bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak turut berkongsi tentang persiapannya, antaranya dengan memperbanyakkan mendengar bacaan daripada qari dan qariah terkenal serta bertalaqqi dengan guru taranum bagi mempertingkatkan ilmu dalam bidang tersebut.

Johan Qari, Hadi menerima hadiah sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuching (kiri), semalam.

Sementara itu, Johan Qari, Hadi Mohd Sharkawi, 33, yang tidak asing lagi dalam arena tilawah, menyifatkan pertandingan kali ini mencabar dengan penyertaan ramai peserta termasuk anak didiknya sendiri.

Pengarah urusan sebuah syarikat perkhidmatan elektrik dan penyelenggaraan pendingin udara itu telah enam kali mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan sejak dinobatkan sebagai johan negeri pada tahun 2013. Beliau juga pernah mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Brunei, Thailand dan Indonesia.

“Saya berharap dapat terus mara dan seterusnya mewakili negara di peringkat antarabangsa tahun hadapan,” ujarnya.

Sebagai johan, Nursyafiqah dan Hadi masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta hadiah iringan. Naib juara dan pemenang tempat ketiga pula menerima wang tunai RM800 dan RM500 berserta hadiah iringan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda